Missed out on any articles featuring any of the four finalists? Go ahead and explore... we might have it here!
24 May 2006
Memang gempak!
Berita Harian
By Jo Santai
Penulis Sambilan
Mereka memang popular tetapi apakah Khairul Anwar, Syed Azmir, Fauzie Laily dan Khairil Yusof mampu menjayakan konsert sendiri di dewan sebesar Max Pavilion yang memuatkan lebih 4,000 penonton?
Apakah tanpa tarikan bintang besar dari Malaysia atau Indonesia, konsert ini boleh mendapat sambutan?
Soalan yang bermain-main di fikiran penulis sejak publisiti meluas mengenai Konsert Suria Anugerah ini keluar terjawab jua apabila menyaksikan sendiri gaya empat penyanyi muda tempatan itu menghiburkan peminat yang memenuhi dewan. Memang gempak!
Walaupun ada kalanya sebahagian daripada empat finalis itu kelihatan gugup dan tarian yang dipersembahkan kurang bertenaga, suara tetap terkawal dan mereka pandai mencuri hati penonton dengan gaya memikat.
Kelemahan boleh dimaafkan, seperti yang dinyatakan oleh Alex Zulkifli Mohd Salleh, penerbit konsert yang juga pengurus Unit Pengurusan Artis Mediacorp TV12, kesemua mereka yang terlibat dalam menjayakan konsert ini belum mencapai status profesional.
Baik artis, hinggalah ke pemuzik dan penari yang mengiringi segmen tradisional iaitu Orkestra Melayu Singapura dan Artis Budaya Seni Tepak Sireh, semuanya masih muda dan amatur.
Dari mula hingga akhir konsert, penonton dihidangkan 30 lagu pelbagai rentak dan genre muzik yang membuat penonton bagaikan di dalam fantasi, beralih daripada satu dunia ke dunia yang lain kerana irama berentak pop, balada, disko, rok dan tradisi Melayu, kesemunya boleh dikatakan disampaikan secara berturutan hampir tanpa henti.
Salah satu segmen yang penulis rasa agak unik ialah persembahan seni tradisional Melayu yang memperlihatkan koreografi unik, sopan tetapi bertenaga. Turut menghiburkan malam itu ialah bakat baru Andresha dan kumpulan Bayu.
Pelakon Era Farida mengakui cukup terharu dengan sokongan penonton terhadap artis tempatan.
'Suasana bertenaga. Cuma saya harap di masa-masa akan datang kalau mereka adakan konsert, mereka sudah pun mempunyai album dan dapat nyanyikan lagu mereka sendiri,' kata Era.
Naib Presiden Suria, Fahmi Rais, apabila ditemui di akhir konsert mengakui mempunyai rancangan menampilkan empat finalis itu secara individu.