Missed out on any articles featuring any of the four finalists? Go ahead and explore... we might have it here!
02 July 2006
Memancar wajah baru Berita Harian
Berita Minggu
by Naadzri Eunos
Suasana tenang Kompleks Beli-Belah Golden Landmark semalam digegarkan dengan kehadiran ratusan hadirin yang sama-sama meraikan pelancaran wajah baru akhbar Berita Harian/Berita Minggu.
Mereka yang datang dari segenap pelosok pulau, bukan saja menyaksikan detik bersejarah BH/BM, yang berusia hampir setengah abad, tetapi juga untuk menikmati hiburan oleh barisan artis jemputan, seperti Syed Azmir dan penyanyi malar segar, J Mizan.
Salah seorang daripada mereka adalah seorang Penduduk Tetap (PR) berusia 35 tahun, Cik Risca.
Beliau datang bersama keluarganya dari Tampines untuk satu tujuan sahaja - melanggani BH/BM.
"Akhbar BH/BM merupakan 'santapan' harian saya. Hari saya tak lengkap kalau tak baca. dah lama saya ura-ura nak langgan BH/BM secara tetap tetapi tidak kesampaian.
"Apabila saya terbaca mengenai majlis ini, saya ke mari," kata beliau, seorang suri rumah.
Ia langkah bijak - beliau salah seorang daripada 50 pelanggan pertama yang layak menerima hadiah percuma berupa telefon bimbit Sony Ericsson.
Sebahagian hadirin tidak pulang dengan tangan kosong kerana mendapat hadiah menerusi kuiz serta cabutan bertuah.
Pemenang hadiah pertama, peti sejuk berharga $5,000 tajaan Mitsubishi Electric Asia Pte Ltd, Sik Maimunah Abdul Majid, 47 tahun, terperanjat apabila namanya dipanggil juruacara A.B. Shaik.
"Saya seperti tidak percaya kerana kebetulan hari ini hari jadi saya!" kata ibu seorang anak itu.
Tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed, berharap BH/BM terus membantu masyarakat mempersiapkan diri menghadapi masa depan.
"Saya mendoakan agar BH/BM terus maju bersama-sama masyarakat kita dengan keinsafan, kesedaran dan rasa kental mereka untuk memikul tanggungjawab menuju masam depan," katanya.
Editor BH/BM, Encik Gunto Sadali, pula berkata: "Saya harap dengan majlis ini, hubungan kita dengan pembaca akan menjadi lebih rapat dan mudah-mudahan mereka akan terus menyokong dengan melanggani BH/BM."
